• Wed, Aug 2023

KEUSAHAWANAN WANITA: PROSPEK DAN CABARAN MASA HADAPAN

KEUSAHAWANAN WANITA: PROSPEK DAN CABARAN MASA HADAPAN

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC) telah menubuhkan Jaringan Keusahawanan dan Kepimpinan Wanita (WELL), yang bertujuan untuk menghubungkan universiti dengan persatuan wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu memperkasakan keusahawanan wanita khususnya di negeri Kelantan.

Sehubungan dengan penubuhan ini, sebuah Program Kepimpinan dan Keusahawanan Wanita 2022 telah dianjurkan oleh GERIC pada 29 dan 30 Mac 2022. Program ini terlibat dalam aktiviti keusahawanan melalui penganjuran karnival keusahawanan, seminar, bengkel dan perkongsian berkaitan kepimpinan wanita, pelan perniagaan, pemasaran digital dan keusahawanan wanita.

Berdasarkan pemerhatian, penglibatan usahawan wanita dilihat lebih cenderung menguasai aktiviti perusahaan dalam bidang makanan, pakaian dan kosmetik.  Statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (2020) menunjukkan sejumlah 187,265 buah pertubuhan merupakan milikan wanita yang menyumbang sebanyak 20.3 peratus kepada sektor ekonomi negara. Pada tahun sebelum ini, kerajaan menerusi Bajet 2020 telah membelanjakan sebanyak RM241.25 juta untuk disalurkan kepada usahawan wanita bagi memperkasakan keusahawanan dalam kalangan golongan tersebut.

Penganjuran karnival tersebut berupaya memperlihatkan sisi kental usahawan Wanita dalam mendepani pelbagai cabaran.  Dalam hal ini, prospek masa hadapan usahawan wanita dalam aktiviti keusahawanan banyak didorong oleh faktor motivasi yang tinggi untuk mengubah nasib diri dan keluarga. Minda golongan wanita yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan bersandarkan kepada motivasi untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi diri sendiri serta keluarga. Komitmen yang dipamerkan oleh usahawan wanita dalam aktiviti keusahawanan sangat memberangsangkan dengan mengambil segala peluang untuk terlibat sama dalam arena ekonomi setempat berdasarkan keupayaan yang ada.

Di samping itu juga, usahawan wanita turut menampilkan elemen kepimpinan yang strategik untuk merealisasikan cita-cita bagi merintis kejayaan kepada perniagaan yang diusahakan. Penat lelah bukan lagi masalah untuk berjaya, sebaliknya ia merupakan faktor motivasi yang mengubah kehidupan daripada susah kepada mudah. Senario ini relevan dengan pepatah Melayu “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Begitulah hebatnya sikap usahawan wanita dalam mengharungi arena keusahawanan dengan berbekalkan motivasi, komitmen dan perancangan yang baik dalam setiap usaha yang digembleng.

Usahawan wanita mempunyai kebolehan dalam mengendalikan perusahaan secara dinamik. Pemikiran yang positif dalam memajukan perniagaan sentiasa tersemat di sanubari dan diterjemahkan menerusi kreativiti dan inovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan. Para usahawan wanita juga bijak dalam memanfaatkan perkongsian strategik dengan rakan sealiran perniagaan yang terlibat. Hal ini secara langsung telah mengukuhkan jaringan perniagaan dalam kalangan usahawan wanita itu sendiri serta berupaya membina rangkaian rakan perniagaan yang kukuh.

Realitinya, dalam aktiviti keusahawanan dan perniagaan, suka atau tidak sudah pasti akan ada persaingan. Namun begitu, dalam kalangan usahawan wanita persaingan dilihat bukan lagi cabaran, sebaliknya sikap menyahut persaingan secara sihat telah mendorong kepada penghasilan produk dan perkhidmatan yang lebih kompetitif. Hal ini juga secara tidak langsung dapat menambahkan kepelbagaian variasi produk dalam pasaran untuk dibeli oleh pengguna dan merancakkan kitaran ekonomi dalam negara.

Usaha dalam memajukan aktiviti keusahawanan yang disertai oleh golongan wanita sangat terpuji. Gigih, tabah, kuat berusaha dan tiada istilah putus asa merupakan intipati warnasari yang dapat menggambarkan kehebatan usahawan wanita. Tiada istilah “yang secupak tak akan jadi segantang, yang sehasta tak akan jadi sedepa”. Sebaliknya usaha usahawan wanita dalam mengharungi cabaran perniagaan terus utuh dengan usaha dan semangat juang yang tiada sempadan. Walau bagaimanapun setiap usaha pasti ada cabaran. Begitulah hakikat yang perlu dihadapi oleh setiap individu yang bergelar usahawan, hal ini tidak terkecuali khususnya dalam kalangan usahawan wanita.

Cabaran dan kekangan yang dihadapi dalam kalangan usahawan wanita terhadap perusahaan yang dijalankan perlu mendapat sokongan pihak yang berkenaan bagi memastikan kelangsungan perusahaan terus mandiri. Antara cabaran yang dihadapi oleh usahawan wanita ialah daripada segi faktor sumber. Sumber yang dimaksudkan termasuklah sumber kewangan yang menjurus kepada modal permulaan, modal pusingan dan modal untuk pengembangan perniagaan serta sumber bahan mentah dan peralatan. Sokongan dalam bentuk penyaluran sumber modal perlu dilaksanakan secara berobjektif dan diselia menerusi indikator KPI (key performance indicator) yang jelas. Hal ini penting bagi memastikan aliran modal yang disumbangkan berupaya menjana pendapatan serta dapat mencipta nilai tambah dalam pasaran.

Di samping itu, cabaran lain yang dihadapi oleh usahawan wanita adalah daripada segi pasaran. Produk yang baik, rekaan yang kreatif, jenama yang “catchy” belum tentu dapat menembusi pasaran dengan sebaiknya. Kelemahan ini berlaku disebabkan oleh kurangnya aktiviti pemasaran yang dijalankan secara menyeluruh. Dalam hal ini, usahawan wanita disarankan memanfaatkan platform pemasaran menerusi teknologi digital dengan semaksimum mungkin. Kaedah pemasaran secara bersemuka yang diamalkan sebelum ini perlu diminimumkan dengan memaksimumkan penggunaan internet dalam memasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran. Oleh itu, usahawan wanita perlu dibantu dengan memperkasa aspek pemindahan ilmu keusahawanan yang selari dengan tren masakini. Dengan cara ini, diharap produk keluaran usahawan wanita akan mendapat liputan yang meluas bukan sahaja untuk pasaran lokal tetapi juga tersedia di pasaran global.

Kesimpulannya, aktiviti keusahawanan dalam kalangan wanita di Malaysia mempunyai prospek yang sangat baik. Usaha dan ketekunan yang dipamerkan sudah pasti menjadi sumber kekuatan untuk menjayakan aktiviti keusahawanan dengan lebih cemerlang. Sikap yang positif disertai dengan motivasi dan kebolehan yang tinggi dalam kalangan usahawan wanita sudah pasti tiada galang gantinya. Namun begitu cabaran yang dihadapi oleh golongan tersebut juga tidak terkecuali untuk diambil perhatian dan sama-sama membantu dalam menjayakan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030.  Ringkasnya pengajuran Program Kepimpinan dan Keusahawanan Wanita 2022 telah berjaya menampilkan sisi positif Wanita dalam era keusahawanan yang berciri srikandi sejati.

0 Comments
  • Login
  • Newest
  • avatar

    Become the first to comment

    Recently Viewed Posts