PENGENALAN
Usahawan merupakan individu yang paling dinamik, kreatif dan inovatif. Perkataan usahawan merupakan satu perkataan yang popular di Malaysia dan ianya sering kali disebut serta diguna bersilih ganti dengan perkataan peniaga atau tokoh korporat. Islam merupakan agama praktikal, bukan hanya semata-mata teori. Oleh sebab itu dalam al-Quran, Allah s.w.t. memerintahkan manusia supaya beramal (bekerja) kerana Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. Islam amat mendorong dan menggalakkan umatnya bekerja, bahkan untuk keadaan tertentu bekerja menjadi wajib, khususnya bekerja untuk mengisi keperluan diri sendiri, untuk keluarga dan orang yang dibawah tanggungannya. Bahkan Islam amat membenci pengangguran dan hidup berminta-minta.
Islam adalah satu-satunya agama yang begitu mendorong umatnya agar berusaha dan mencari rezeki melalui perniagaan sehingga berniaga itu diklasifikasikan sebagai tuntutan fardhu kifayah. Malahan sembilan persepuluh daripada sumber rezeki di dunia ini datangnya daripada perniagaan. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan.”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
Keusahawanan atau perniagaan yang dijalankan secara beretika dan menurut prinsip-prinsip Syariah amat dituntut oleh Islam. Dalam sesebuah masyarakat Islam, perniagaan dan perdagangan merupakan satu tanggungjawab sosial yang merupakan fardu kifayah. Ia juga merupakan sebahagian dari tuntutan umum supaya manusia saling bantu membantu dan bekerjasama dalam kehidupan seharian mereka selain memenuhi keperluan hidup bermasyarakat. Bagi umat Islam ia adalah sebahagian daripada usaha kerjasama takwa dan perkara kebaikan. Justeru itu, perniagaan adalah suatu bentuk sumbangan kepada masyarakat umum dan sangat penting dalam kehidupan dan tamadun manusia. Hal ini amatlah jelas kerana konsep keusahawanan dan perniagaan banyak disebut dalam al-Quran, antaranya seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 275:
“Dan Allah menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al-Bai’) dan mengharamkan riba”.
Namun, dalam usaha usahawan Islam mengembangkan perniagaan, mereka tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran. Tambahan pula, cabaran di era digitalisasi amat menuntut usaha yang bukan sedikit bahkan meruntun jiwa dan raga bagi memastikan perniagaan berjaya dan berdaya saing.
CABARAN USAHAWAN ISLAM MALAYSIA MASA KINI
Dalam menuju era globalisasi dan digitalisasi, cabaran dalam keusahawan semakin mencabar. Dunia hari ini sedang berhadapan dengan gelombang perubahan secara mendadak serta mengubah landskap ekonomi di sekeliling kita. Perubahan ini di jangka akan menjadi semakin hebat di masa akan datang khususnya di zaman tanpa sempadan ini. Antara cabaran yang dihadapi oleh usahawan Islam adalah seperti berikut.
Meneroka Teknologi Baharu
Dunia tanpa sempadan telah memberi cabaran kepada usahawan Islam untuk kekal bergerak ke hadapan dengan meneroka pelbagai kemahiran seperti menguasai teknologi baharu dan inovasi. Usahawan Islam Malaysia tidak dapat tidak hendaklah mahir dalam aspek digitalisasi termasuk teknologi rantaian blok ( blockchain ) yang menjadi senjata utama setiap usahawan yang ingin berjaya dalam sesuatu perniagaan yang ingin mereka ceburi. Selain itu, mereka juga perlu mahir dalam selok belok penggunaan media sosial dalam mengembangkan perniagaan. Media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok, YouTube dan sebagainya sering digunakan oleh usahawan dalam mempromosikan perniagaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Namun, dalam kegigihan memggunakan media sosial sebagai saluran pemasaran, usahawan Islam diiangtkan agar sentiasa menjaga batas-batas Syariah dan tidak membuat pemasaran yang menyalahi hukum Syrak. Islam telah menggariskan panduan agar penggunaan media sosial bertujuan untuk perniagaan tidak melampaui batas Syariah. Antaranya gambar produk yang diiklankan hendaklah produk yang sebenarnya, tidak memalsukan sifat dan ciri produk dan membuat penghantaran produk sejurus pembeli membuat bayaran. Tambahan pula, dunia dilanda wabak pandemik COVID-19, menjadi cabaran bagi usahawan Islam dalam memanfaatkan teknologi baharu dalam memastikan pemulihan perniagaan daripada pandemik COVID-19 serta daya tahan perniagaan terhadap krisis akan datang. Pandemik COVID-19 dilihat menunjukkan cabaran yang ketara bagi mendapatkan teknologi baharu yang canggih dan moden, mudah disesuaikan ( adaptable ) dan bercirikan transformatif ( transformative ) untuk terus menyokong inovasi digital. Transformasi sebagai negara berteknologi tinggi adalah menjadi kewajipan semua pihak termasuk usahawan Islam untuk saling bekerjasama dalam merealisasikan model perniagaan bagi meneroka teknologi baharu.
Menghadapi Wabak Pandemik COVID-19 dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Dunia dan tidak terkecuali Malaysia telah dilanda wabak pandemik COVID-19. Sehingga 3 September 2022, kes positif wabak pandemik COVID-19 di dunia adalah sebanyak 604 juta kes, sedangkan di Malaysia kes positif akibat wabak tersebut adalah berjumlah 4.79 juta kes. Manakala, angka kematian disebabkan wabak pandemik COVID-19 di dunia berjumlah 6.49 juta orang, manakala di Malaysia angka kematian adalah berjumlah 36,234 orang. Tiada siapa yang dapat menjangkakan bahawa pandemik COVID-19 ini telah meninggalkan kesan yang sangat signifikan terhadap landskap ekonomi dunia. Malaysia sendiri antara negara yang segera bertindak dengan melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak tersebut. Pelaksanaan PKP telah menyebabkan sektor ekonomi negara lumpuh seketika dan banyak industri dan perniagaan turut menerima kesan. Usahawan Islam juga tidak terkecuali turut menerima tempias apabila perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa dan ada yang terpaksa gulung tikar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Muhd Firdaus Azharuddin, pandemik Covid-19 memberi dua (2) cabaran yang berbeza terhadap usahawan di mana ada yang mencatatkan jualan yang melonjak dengan begitu tinggi dan ada yang perlu menelan kepahitan apabila jualan merudum. Pengumuman penguatkuasaan PKP yang dibuat dalam tempoh yang singkat oleh kerajaan pada waktu itu telah membuatkan usahawan terkejut dan kebanyakan daripada mereka tidak bersedia. Bagi usahawan yang mengikuti peredaran semasa jualan mereka dilihat meningkat lebih tinggi berbanding biasa. Namun, bagi usahawan yang masih menggunakan kaedah yang lama, jualan mereka ketika itu merudum. Antara usahawan yang terkesan adalah mereka dalam industri perkahwinan seperti perancang perkahwinan, jurugambar, jurusolek, katering dan lain-lain lagi hilang pendapatan pada ketika itu. Selain itu, usahawan yang mengusahakan kedai gunting rambut, spa dan kesihatan dan peruncitan juga terkesan pada waktu PKP. Oleh yang demikian, para usahawan termasuk usahawan Islam perlu mengkaji kembali kaedah dan operasi perniagaaan mereka. Mereka juga hendaklah menyesuaikan perniagaan mengikut kesesuaian dan keperluan semasa. Misalnya, ada usahawan kelengkapan haji dan umrah yang cepat bertindak apabila mereka menjual buah kurma serta produk-produk berkaitan agama bagi memastikan perniagaan mereka terus boleh meneruskan operasinya.
Menghakiskan Konflik dalam Pilihan Urusniaga yang Hendak Dilaksanakan
Pengangguran yang semakin berleluasa di kalangan graduan universiti tempatan telah membuka mata banyak pihak termasuk pihak kementerian terbabit, pihak ibu bapa dan masyarakat. Wujud galakkan daripada pihak tertentu agar graduan ini memilih kerjaya usahawan sebagai profesion utama mereka kerana menjanjikan pendapatan lumayan. Pelbagai intensif disediakan bagi graduan ini. Namun adakah graduan yang memilih profesion ini mampu bertahan lama disebabkan bidang ini memerlukan kepakaran dan pengalam yang luas serta berisiko tinggi. Maka tidak hairanlah ramai usahawan Islam yang gulung tikar disebabkan faktor ini. Mempunyai segulung ijazah dalam bidang yang tiada kaitan langsung dengan usahawan, tetapi memilih profesion usahawan sebagai bidang kerjaya yang akhirnya memberi sejuta cabaran dan rintangan kepada usahawan sebegini. Maka sudah pasti konflik perniagaan yang hendak dilaksanakan untuk dikaitkan dengan segulung ijazah menjadi satu cabaran.
Peranan Media Elektronik
Peranan media elektronik dalam menyediakan bahan tentang kejayaan usahawan Muslim harus diperhebatkan dan diperhebahkan secara meluas kepada masyarakat. Permasalahan usahawan Muslim juga harus diketengahkan oleh pihak media agar golongan usahawan Muslim ini mendapat hak yang sepatutnya. Walaupun media elektronik pernah melakukan inisiatif ini tetapi ia masih dianggap kurang berkesan. Oleh itu satu siri khas untuk usahawan Islam yang berjaya harus wujud di media elektronik mahupun media sosial bagi memberi pendedahan secara langsung kepada mereka yang berminat untuk berkongsi pandangan dan pengetahuan dengan usahawan yang telah berjaya ini. Selain itu kerjasama yang erat antara para usahawan Muslim dengan media elektronik harus diperkukuhkan. Namun, usaha memberi pendedahan perkongsian yang baik ini jangan pula disalah gunakan oleh segelintir usahawan Islam. Sesetengah mereka yang kononya menggelarkan diri sebagai usahawan Islam berjaya dan jutawan telah menawarkan perkhidmatan motivasi misalnya kem motivasi menjadi usahawan jaya lalu mengenakan yuran penyertaan sehingga ribuan ringgit seperti yang kita sedia maklum banyak ditawarkan oleh mereka melalui media sosial.
Menghapuskan Amalan Rasuah
Sejarah di Malaysia telah membuktikan ramai usahawan Melayu bergelar kontraktor kelas F. Dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970an diharapkan lebih ramai usahawan bumiputera yang terdiri daripada usahawan Muslim mampu dilahirkan seterusnya meningkatkan lagi pendapatan golongan bumiputera. Namun tahun 1990 menyaksikan perlaksanaan DEB menemui kegagalan. Ini kerana pelbagai kontrak perniagaan telah diwujudkan oleh kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Tender-tender telah dibuka kepada kontraktor agar pemberian sesuatu projek lebih telus. Namun kedapatan segelintir usahawan Islam yang menerima sogokan ataupun mereka yang ingin mendapat untung dengan cara mudah sehingga sanggup menyewa lesen mereka kepada orang bukan Islam yang masyarakat semua maklum bahawa mereka ini mempunyai modal kecairan yang tinggi berbanding usahawan Islam. Akhirnya persaingan tidak sihat ini menjadi racun pemusnah kepada usahawan lain yang bertungkus lumus untuk menyiapkan projek mereka. Oleh itu amalan rasuah perlu dihapuskan hingga ke akar umbi oleh kerajaan.
Menjana Pertumbuhan Ekonomi Yang Mampan ( Sustainable )
Pasca COVID-19 melihatkan Malaysia telah membuka kembali sempadan bagi mengaktifkan lagi pertumbuhan ekonominya. Namun, kesan penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia seperti kenaikan kadar inflasi yang tinggi. Menurut Kenanga Research, Malaysia akan terus merekodkan kadar inflasi yang tinggi dalam beberapa bulan akan datang disebabkan oleh peningkatan dalam perbelanjaan berkaitan pelancongan serta pemecutan kadar inflasi harga makanan. Malaysia sebagai pengimport bersih makanan akan terus berdepan inflasi yang diimport disebabkan oleh penurunan berterusan nilai ringgit. Harga pengguna akan terus berada dalam trend lebih tinggi berikutan gangguan bekalan sedia ada yang disebabkan oleh krisis Russia-Ukraine dan dasar COVID-19 di China yang ketat, ditambah dengan dasar fiskal mengembang kerajaan serta kekurangan pekerja di peringkat domestik. Oleh itu, harga bahan mentah telah melonjak naik secara drastik menyebakan berlakunya peningkatan kos kepada para usahawan. Ini terbukti apabila beberapa bahan mentah seperti minyak masak, sayuran dan lain-lain terpaksa dinaikkan secara mendadak pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah memberi impak negatif kepada para usahawan khususnya usahawan Islam kerana kos pinjaman akan menjadi lebih tinggi. Lebih tinggi kos pinjaman, semakin terhad peluang pembiayaan modal untuk usahawan. Bila semakin sukar untuk meminjam, semakin berkurangan aktiviti yang boleh dibuat sebab modal tidak ada. Kenaikan kos operasi ini menyebabkan margin keuntungan semakin berkurang. Kelulusan pinjaman oleh pihak bank juga turut diperketatkan. Oleh itu, satu skim khas patut dilakukan bagi membantu usahawan Muslim yang melaksanakan urusniaga halal bagi mengenengahkan mereka ke peringkat antarabangsa agar pertumbuhan ekonomi yang mampan ( sustainable ) dapat dikekalkan dan seterusnya ditingkatkan.
Sokongan Modal daripada Institusi Perbankan
Dewasa ini, sektor perbankan Islam telah bertumbuh dengan begitu pesat. Persaingan sihat antara perbankan Islam dan perbankan konvensional menjadi lebih sengit. Masing-masing cuba untuk menarik minat usahawan agar melakukan urusniaga dengan bank masing-masing. Pelbagai janji dilontarkan. Namun sejauh mana janji ini dikotakan. Namun, bagi seseorang usahawan Islam sudah pasti perbankan Islam menjadi pilihan utama. Akan tetapi, masih ramai usahawan Islam yang kabur tentang kewujudan produk yang mampu memberi harapan kepada usahawan Islam kini. Kurangnya penglibatan pihak bank untuk turun ke padang bertemu bakal pelanggan dan penjelasan yang kurang jelas tentang kadar pengiraan untung oleh pihak bank menyebabkan usahawan Islam akan mudah tertarik kepada bank konvensional yang lebih mudah untuk mereka berurusniaga serta lebih cekap dan mantap. Oleh yang demikian, perbankan Islam harus mempunyai strategi yang jitu dalam membantu melahirkan usahawan Muslim yang berjaya sama ada pengenalan produk baru kepada para usahawan Muslim, pengiraan kadar keuntungan bank yang lebih jelas dan jujur serta kakitangan dan pegawai bank yang turut turun padang bagi menarik minat usahawan Muslim.
RUMUSAN
Melihat kepada cabaran yang dihadapi usahawan Islam ini, mereka seharusnya perlu lebih bersedia agar perniagaan berterusan mampan. Kegagalan usahawan Islam dalam menghidu cabaran seterusnya merangka strategi yang bersesuaian boleh mengakibatkan perniagaan menjadi mundur, tidak berkembang atau terpaksa ditutup. Selain merangka strategi agar perniagaan kekal mampan, usahawan Islam juga tidak seharusnya melupakan amanah mereka terhadap Sang Pencipta iaitu Allah s.w.t. Usahawan yang dianjurkan dalam ekonomi Islam adalah usahawan yang cuba memaksimumkan pahala disamping memaksimumkan kepuasan dan keuntungan. Oleh itu, usahawan Islam ini akan dianggap mampan dan berjaya sekiranya mereka mampu memperolehi ganjaran di dunia berupa keuntungan dan ganjaran di akhirat berupa Mardhatillah (keredhaan Allah s.w.t.).
Become the first to comment